Raja Noraina Raja Rahim dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: "Apa saja keputusan yang anak-anak (calon SPM) dapat pada hari ini, ingatlah anak-anak adalah generasi yang hebat.

"Belum pernah ada mana-mana kohort Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang melalui dugaan, cabaran dan rintangan seperti mana calon SPM 2020. Tabik hormat pak cik untuk anak-anak sekalian."

Demikian kata-kata semangat yang diluahkan oleh Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin sebelum berakhirnya sidang media keputusan SPM 2020 yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial yang bermula jam 9 pagi hari ini.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada guru dan ibu bapa yang memberikan bantuan dan kerjasama kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepanjang perjalanan SPM 2020.

Menurutnya, walaupun terpaksa menutup sekolah dan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), namun semua pihak memainkan peranan serta melakukan yang terbaik.

RADZI memberi kata-kata semangat sebelum berakhirnya sidang media keputusan SPM 2020.
RADZI memberi kata-kata semangat sebelum berakhirnya sidang media keputusan SPM 2020.

"Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada guru yang terbabit dalam proses melaksanakan SPM 2020. Ia bukan proses mudah buat petugas peperiksaan, guru bertugas hari peperiksaan dan terbabit pemarkahan serta mengajar calon SPM.

"Kepada ibu bapa, pihak KPM juga mengucapkan terima kasih. Kami sedar tempoh ini adalah amat mencabar dan kami tahu kami tidak sempurna, tapi kami cuba untuk laksanakan yang terbaik," katanya.

Justeru, beliau menyeru supaya ibu bapa terus memberikan kerjasama dan kepercayaan kepada KPM dalam memberikan yang terbaik untuk pelajar.

Beliau berkata, sekiranya semua pihak bersatu pastinya akan dapat mengharungi situasi sukar pandemik Covid-19 dan menang bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 10:52 AM