PENERIMA vaksin tidak boleh memilih jenis suntikan vaksin Covid-19. FOTO BERNAMA
PENERIMA vaksin tidak boleh memilih jenis suntikan vaksin Covid-19. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Penerima janji temu suntikan vaksin Covid-19 sekali lagi diingatkan bahawa tidak boleh memilih jenis suntikan vaksin yang akan diberikan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, tiada jaminan untuk seseorang penerima vaksin menerima jenis vaksin tertentu ketika hadir mendapatkan suntikan.

"Program pemberian vaksin dalam proses penjadualan semula dan anda tidak boleh memilih vaksin tertentu. Tiada jaminan untuk anda dapat Pfizer atau AstraZeneca atau Sinovac.

"Nasihat saya adalah ambil sahaja vaksin yang diberikan. Jika Sinovac, ambil kerana ia adalah vaksin yang memberi perlindungan tinggi serta bagus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, yang mula beroperasi, hari ini.

Beberapa hari lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan vaksin Covid-19 untuk kegunaan kecemasan iaitu vaksin kedua buatan China yang menerima kelulusan itu.

AstraZeneca yang sebelum ini diberi secara pilihan sukarela kepada rakyat Malaysia dimaksudkan kembali dalam senarai program vaksinasi negara.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, Sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) yang mampu mencegah pembentukan kluster Covid-19 baharu dihentikan sementara dalam tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

Khairy yang mengesahkan perkara itu memaklumkan sistem berkenaan akan disambung semula nanti.

HIDE mampu mencegah pembentukan kluster Covid-19 baharu sekiranya penyenaraian lokasi yang dikenal pasti diambil tindakan awal oleh pihak berkuasa, pemilik premis dan orang awam.

Menerusi HIDE, beberapa intervensi awal akan dilakukan penghantaran notifikasi kontak kasual menerusi aplikasi MySejahtera, kawalan pergerakan pengunjung atau pelawat dengan lebih ketat.

Malah, ia juga boleh menghalang kemasukan mereka yang berstatus berisiko tinggi seperti yang terpapar pada aplikasi MySejahtera.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan mana-mana premis yang tersenarai dalam sistem HIDE diarah tutup selama tiga hari berkuat kuasa serta-merta.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 2:30 PM