FOTO yang tular di media sosial.
FOTO yang tular di media sosial.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Polis sedang menyiasat tindakan sekumpulan warga asing bergelang merah jambu yang dikatakan keluar membeli barangan keperluan dalam kejadian di Taman Ayer Keroh Height, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, satu laporan polis diterima pihaknya semalam membabitkan individu memakai gelang merah jambu melanggar perintah kuarantin.

Beliau berkata, kira-kira 1.50 tengah hari, Balai Polis Ayer Keroh menerima laporan berhubung beberapa rakaman video yang dikirim melalui aplikasi Whatsapp yang merakamkan gelagat beberapa orang disyaki warga asing memakai gelang merah jambu dipercayai sedang menjalani tempoh kuarantin keluar dari kediaman dan membeli barangan di kedai runcit.

"Berdasarkan rakaman diterima itu didapati berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Susulan laporan diterima, polis kemudian membuka kertas siasatan yang membolehkan satu siasatan dijalankan ke atas individu yang dirakam kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15, Perenggan 22(B) Peraturan- Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah- Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal dijalankan mendapati individu yang terbabit dalam rakaman video adalah pekerja warga asing dari sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh.

"Pihak kami sudah memanggil pengurus sumber manusia kilang berkenaan untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bagi tujuan rakaman percakapan dan mendapatkan butiran lanjut," katanya.

Afzanizar berkata, siasatan dijalankan juga mendapati kumpulan warga asing itu adalah individu dalam siasatan (PUI) dan baru selesai menjalani ujian calitan oleh KKM di kilang tempatnya bekerja pagi semalam.

"Kesemua mereka sedang menunggu keputusan ujian calitan dan ketika kejadian mereka dikatakan dalam proses untuk dihantar balik ke asrama bagi tujuan kuarantin," katanya.

Terdahulu, tindakan kumpulan warga asing itu yang tular di media sosial nyata menimbulkan kebimbangan dan kegusaran dalam kalangan penduduk setempat selain mendapat pelbagai reaksi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 8:29 AM