Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menasihatkan semua guru yang sudah mempunyai jadual janji temu untuk hadir mengambil suntikan terbabit.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, buat masa ini beliau dimaklumkan bahawa lebih 70,000 guru sudah menerima suntikan satu dos vaksin.

"Bagi tempoh ini kita sudah tahu bahawa sekolah tidak akan dibuka dalam tempoh sehingga akhir Julai, jadi saya sudah berbincang dengan Menteri penyeleras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, saudara Khairy Jamaluddin.

"Kita akan usahakan untuk mempertingkatkan proses imunisasi bagi guru di bawah KPM supaya keseluruhan guru dapat divaksinasikan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media khas, hari ini.

Ditanya mengenai jumlah data berapa ramai guru yang tidak hadir janji temu vaksinasi mengikut giliran, beliau berkata, data itu masih belum diterima dan perlu menyemak terlebih mengenainya.

"Data itu belum ada lagi dan saya kena semak dulu data berkenaan. Bagaimanapun, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk ingatkan guru-guru sekiranya dijemput atau mendapat masa untuk divaksinasikan tolonglah hadir program vaksinasi terbabit.

"Ini bagi memastikan kita dapat percepatkan dan pertingkatkan jumlah guru yang dapat divakinasikan. Kita mahu pastikan supaya hampir keseluruhan guru dapat divaksinasikan dalam tempoh terdekat ini.

"Jadi mereka (guru) yang sudah mendapat tempat untuk divaksin, pihak kementerian juga sudah berbincang untuk mengeluarkan peringatan meminta supaya guru hadiri proses atau janji temu vaksinasi yang ditetapkan," katanya.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Radzi berkata, namun begitu pihaknya sentiasa mencari kaedah dan pendekatan terbaik supaya apabila sekolah dibuka semula, sesi persekolahan dapat terus dijalankan dalam keadaan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 3:42 PM