Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Oleh Suraya Roslan


Putrajaya: Penularan pandemik Covid-19 pada Mac tahun lalu mengubah landskap dunia pendidikan negara dan ia memberi cabaran besar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selepas sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka terpaksa dihentikan.

Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin berkata, beliau tidak menyangka cabaran berkenaan perlu digalas sebaik mengangkat sumpah menjawat jawatan terpenting itu pada 9 Mac tahun lalu.

"Selepas angkat sumpah sebagai menteri, beberapa hari selepas memulakan tugas, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan pada 18 Mac.

"Apabila berlaku pandemik Covid-19 ini tiada siapa antara kami sama ada menteri, timbalan menteri atau KSU (Ketua Setiausaha) dan sesiapa saja dalam kementerian pernah melalui pengalaman sebegini dalam menangani krisis membabitkan sektor pendidikan sebesar ini," katanya dalam temu bual khas di pejabatnya di sini.

Dr Radzi mengakui selama setahun memegang jawatan penting itu dalam keadaan pandemik adalah paling mencabar buat dirinya dan pastinya tumpuan rakyat tertumpu kepada dirinya.

"Saya berada di sini (KPM) untuk melakukan yang terbaik. Sebelum ini saya berada di Australia lama iaitu selama 20 tahun, banyak ruang membolehkan saya melihat sistem pendidikan di negara berbeza.

"Dalam tempoh ini (setahun pandemik) tiada seorang mempunyai pengalaman, tetapi apa yang penting setiap keputusan itu kena buat berdasarkan asasnya, selagi asas tepat dan betul, kita yakin keputusan dibuat adalah terbaik.

"Saya perlu akui setahun ini adalah satu tempoh amat mencabar menangani krisis ini, tetapi banyak kita belajar dan lakukan penambahbaikan kerana kita komited bekerja keras demi melonjakkan pendidikan kita ke tahap lebih tinggi," katanya.

Katanya, landskap pendidikan negara berubah sebaik sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka dihentikan dan antara langkah terbaik adalah pengenalan TV Pendidikan (DidikTV).

"Proses mewujudkan TV Pendidikan ini panjang. Sebagaimana kita tahu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif adalah secara bersemuka.

"DidikTV ini, buka atau tutup sekolah kita masih boleh gunakannya secara optimum, namun begitu, dalam konteks yang ada, kita bergerak ke hadapan tanpa kita tahu apakah keadaan yang berlaku di depan.

"Katakan kalau tidak ada DidikTV, datang gelombang lebih besar, rakyat akan persoalkan mengapa KPM tak buat, jadi keputusan untuk mewujudkan DidikTV ini sudah ambil kira sekiranya perkara ini prolong, ini kegunaannya, jika penutupan sekolah berterusan dan jika sebahagian sekolah dibuka dan ditutup, DidikTV ada," katanya.

Menurutnya, ketika PKP 2.0 dilaksanakan, KPM sudah mempunyai 11 jam TV Pendidikan bermula di TV Okey RTM, kemudian di Astro dan kini di NTV7.

Beliau berkata, satu lagi pembaharuan dilaksana KPM adalah kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 akan ditanda sepenuhnya oleh pemeriksa menerusi dalam lam talian yang menjadi sejarah baru buat negara.

"SPM adalah peperiksaan diiktiraf di peringkat antarabangsa, jadi kita tidak boleh sewenang-wenangnya menukar atau memansuhkannya kerana ia memerlukan perbincangan dengan agensi dan institusi yang beri akreditasi kepada SPM.

"Kita perlu akui SPM tahun ini adalah paling mencabar dalam sejarah dan apabila kita melihat keadaan tidak begitu sesuai untuk melaksanakan peperiksaan dan kita tangguhkan SPM supaya dapat beri ruang kepada anak-anak buat persediaan.

"Buat pertama kali dalam sejarah, semua kertas peperiksaan SPM tahun ini (2020) akan diperiksa secara dalam talian. Integriti pemeriksa kita jaga. Memandangkan kita guna online, sistem keselamatan akan digunakan untuk memastikan pemeriksa tidak tahu kertas siapa yang mereka tanda. Siapa muridnya dia tidak tahu. Kita jamin," katanya.

Dr Radzi berkata, mendepani persekitaran baru akan datang, pendidikan digital menjadi instrumen penting yang perlu diberi tumpuan KPM, tanpa mengenepikan kekangan serta masalah yang dihadapi semua pihak seperti capaian internet lemah dan ketiadaan peranti bagi murid.

Beliau berkata, bagi peringkat ini, fokus KPM menyedia dan melatih guru supaya mempunyai kepakaran serta pengetahuan mendalam bagi membolehkan mereka biasa dalam penyampaian pembelajaran secara digital.

"Pemilikan peranti ini adalah cabaran utamanya, macam mana kita mahu laksana kalau murid tiada peranti. Kepakaran guru dalam pendidikan digital, perlu juga diberi tumpuan supaya mereka tahu menggunakan teknologi. Dalam konteks ini, suka atau tidak, kita (dan guru-guru) perlu bersama melaksanakan supaya anak kita tidak ketinggalan.

"Banyak negara sudah memulakan lebih awal pendigitalan pendidikan mereka. Ini berjaya dibuat disebabkan pengalaman mereka dalam menghadapi situasi Covid-19 ini. Jadi, kita tidak boleh jauh ketinggalan dalam bidang ini, sebab itu fokus yang kita tekankan sekarang adalah pendidikan digital," katanya.

Katanya, KPM akan mencari mekanisme seimbang bagi menjayakan agenda pendidikan digital negara dengan mengambil kira kemampuan ibu bapa menyediakan peranti sesuai untuk anak serta tahap capaian internet di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 11:18 AM