Jenazah empat mangsa lemas selamat dikebumikan di Taman Perkuburan Orang-Orang Islam Kampung Contoh, Putatan. FOTO Juwan Riduan
Jenazah empat mangsa lemas selamat dikebumikan di Taman Perkuburan Orang-Orang Islam Kampung Contoh, Putatan. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Putatan: Jenazah tiga beradik dan seorang sepupu yang lemas dalam kejadian di Pantai Gorongon, Kampung Contoh, Selasa lalu, selamat dikebumikan, hari ini.

Jenazah Rafidah Amit, 14, Norain, 13, dan Korais, 8, bersama seorang lagi Galang Nain, 17, dikebumikan di Taman Perkuburan Orang-Orang Islam Kampung Contoh, di sini, kira-kira jam 3 petang tadi.

Semua jenazah dimandikan sebelum dikafankan dan disembahyangkan di Masjid As-Salam Kampung Contoh selepas dituntut dari Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu.

Upacara pengebumian dihadiri ahli keluarga terdekat selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan.

Difahamkan, jenazah Rafidah dan Norain dikebumikan dalam satu liang lahad manakala jenazah Korais dan Galang dikebumikan dalam satu liang lahad lain.

Pengurusan keempat-empat jenazah turut dibantu Persatuan Amal dan Jariah Sabah (TEAM AMAL), Pertubuhan Gerakan Amal Kasih Sabah (GERAKS), Darul Aisyah dan AJK Masjid Assalam Kampung Contoh.

Ibu kepada tiga beradik terbabit, Awalah Antulah, 51, berkata, walaupun amat berat untuk menerima kejadian yang menimpa ketiga-tiga anaknya namun tetap reda dengan ketentuan tuhan.

"Sehingga kini masih berat untuk saya menerimanya kerana mereka adalah anak yang baik.

"Anak kedua Norain, selalu keluar untuk menjual buah-buahan sekitar Putatan dan apabila pulang dari menjual, dia akan belikan saya serta adik beradiknya yang lain makanan," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan, hari ini.

Awalah berkata, dua lagi adik beradik Norain iaitu Rafidah dan Korais yang terbabit dalam kejadian itu pula adalah anak kepada isteri pertama suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 4:30 PM