GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah mengarahkan semua ketua kampung di negeri ini memantau dan memaklumkan segera kepada pihak berkuasa daerah jika berlaku penularan Covid-19, kematian dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di kampung masing-masing.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, dalam kenyataan medianya malam tadi berkata, ketua kampung juga perlu mengambil langkah mengawal kemasukan dan merekodkan pergerakan keluar masuk orang luar.

Katanya, kerjasama dan tanggungjawab semua ketua kampung amat diperlukan bagi membantu kerajaan dalam usaha mengawal penularan pandemik Covid-19 yang semakin serius.

"Demi membendung penularan penyakit Covid -19 di Sabah, kerajaan negeri melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri mengarahkan semua ketua kampung untuk membuat pemantauan kawasan pentadbiran kampung masing-masing selaras dengan kuasa yang diberikan kepada ketua kampung mengikut Ordinan Pentadbiran Luar Bandar [Sabah Bab 132] (OPLB)," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, ketua kampung perlu memaklumkan perkembangan semasa di kampung masing-masing kepada pihak berkuasa daerah seperti Datuk Bandar Kota Kinabalu bagi kawasan ibu negeri, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) bagi ketua kampung di Sandakan dan Tawau.

Bagi ketua Kampung di daerah lain katanya, maklumat perlu dimaklumkan kepada pegawai daerah atau penolong pegawai daerah pejabat daerah kecil.

Sementara itu, Masidi berkata, satu lagi kluster Covid-19 berkaitan kunjung mengunjung sempena sambutan Aidilfitri dilaporkan di Sabah semalam yang dikesan di Tawau.

Kluster Milenium itu katanya, tercetus selepas seorang guru lelaki berumur 43 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinabutan 2 dikesan positif melalui saringan bergejala di Klinik Kesihatan Tawau pada 23 Mei lalu.

"Selang dua hari kemudian, seramai 16 ahli keluarga kes indeks itu pula didapati positif Covid-19. Dalam pada itu, saringan kontak sosial dan tempat kerja di Agro Bank juga mengesan sembilan lagi kes positif, termasuk tiga kontak rapat kepada satu kes positif di bank terbabit," katanya.

Secara keseluruhan, Sabah mencatat 207 kes baharu Covid-19 semalam, meningkat 17 kes berbanding 190 kes kelmarin dengan dua kematian, masing-masing satu di Kunak dan Lahad Datu, manakala seramai 224 pesakit dilaporkan sembuh.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 9:41 AM