Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pemeriksaan dijalankan pihak berkuasa dengan teliti di sekatan jalan raya (SJR) berhampiran Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, antara punca kesesakan di dua laluan utama menghala ke Jambatan Pulau Pinang.

Menerusi pemeriksaan itu, kira-kira 50 kenderaan yang melalui SJR terbabit diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai dokumen lengkap bagi merentas daerah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pemeriksaan teliti itu dilakukan susulan sekatan pergerakan penuh (SPP) Fasa Pertama yang akan dilaksanakan bermula esok.

Katanya, pemeriksaan itu adalah bagi memastikan pengguna jalan raya mempunyai dokumen yang sah dan lengkap mengikut garis panduan ditetapkan mengikut urusan masing-masing.

"Kita mahu memastikan bahawa dokumen kebenaran mereka tidak disalah guna bagi tujuan lain terutama untuk merentas daerah.

"Kesesakan dan aliran trafik pada hari ini agak tinggi tambahan pula di waktu puncak, polis tidak mengeluarkan kompaun cuma mengarahkan pengguna jalan raya yang tiada dokumen lengkap supaya berpatah balik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tinjauan sehingga jam 4 petang tadi mendapati laluan masuk ke Jambatan Pulau Pinang dari arah pusat bandar sesak sehingga tiga kilometer walaupun bukan pada waktu puncak.

ALIRAN trafik sesak di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu arah masuk ke Jambatan Pulau Pinang, susulan pemeriksaan ketat di SJR. FOTO Mikail Ong
ALIRAN trafik sesak di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu arah masuk ke Jambatan Pulau Pinang, susulan pemeriksaan ketat di SJR. FOTO Mikail Ong

Kesesakan turut berlaku di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dari arah pusat beli-belah Queensbay serta Jalan Batu Uban.

SPP Fasa Pertama di seluruh negara akan dikuatkuasakan esok bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021.

Sepanjang tempoh itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang disenaraikan oleh MKN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 6:07 PM