Fiqri (dua dari kiri) menyerahkan kotak mengandung bekas makanan plastik pakai buang kepada pihak Hospital Tuanku Ja`afar Seremban, hari ini. NSTP/MOHD AMIN JALIL.
Fiqri (dua dari kiri) menyerahkan kotak mengandung bekas makanan plastik pakai buang kepada pihak Hospital Tuanku Ja`afar Seremban, hari ini. NSTP/MOHD AMIN JALIL.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Walau kecil sumbangan namun besar maknanya buat wira barisan hadapan.

Itu antara usaha kumpulan sukarelawan yang mengambil inisiatif membantu hospital dengan menyediakan 2,000 unit bekas plastik makanan untuk petugas barisan hadapan dan pesakit Covid-19 di wad Hospital Tuanku Ja[afar (HTJ) Seremban di sini.

Penyelaras Barisan Nasional Youth Volunteer (BNYV) Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, berkata, pihaknya mendapat tahui HTJ memerlukan bekas makanan plastik dalam jumlah yang besar setiap hari.

Katanya, sebelum ini pihak hospital menggunakan bekas makanan yang perlu dibasuh selepas digunakan oleh pesakit.

"Berikutan bilangan pesakit yang bertambah, mereka memerlukan bekas plastik makanan pakai buang bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

"Atas keperluan itu, kami dengan sokongan kumpulan anak muda Seremban Prihatin mengambil inisiatif menyumbang bekas plastik makanan pakai buang bagi mengurangkan bebanan pihak HTJ dan petugas kakitangan terutama di bahagian penyediaan makanan hospital," katanya selepas menyerahkan 3,000 unit bekas makanan plastik kepada wakil bahagian pentadbiran di HTJ, di sini, tadi,

Menurutnya, inisiatif bantuan itu adalah fasa ketiga yang dilaksanakan pihaknya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

"Usaha ini adalah hasil sokongan orang ramai dan rasa tanggungjawab kami terhadap petugas hospital yang kekal memberikan komitmen tinggi dalam merawat pesakit Covid-19," katanya.

Muhammad Fiqri Firdaus berkata, pihaknya juga sedang dalam usaha mengumpul dana bagi menyediakan keperluan tong oksigen dan makanan segera buat kakitangan Hospital Port Dickson.

"Kami berharap usaha ini serba sedikit dapat meringankan beban pihak hospital dan memberi peluang kami menabur bakti kepada masyarakat dan negara," katanya.

Difahamkan, HTJ adalah antara dua hospital utama di Negeri Sembilan selain Hospital Tampin yang merawat pesakit Covid-19 termasuk kalangan pesakit yang berisiko tinggi dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 8:21 PM