Orang awam mematuhi (SOP) dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak di dalam sebuah pasar raya.
Orang awam mematuhi (SOP) dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak di dalam sebuah pasar raya.
Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengarahkan pejabat negerinya menjalankan pemeriksaan di pusat beli-belah dan pasar raya di beberapa negeri yang didapati menjalankan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan yang berbeza.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, SOP yang dikeluarkan kementeriannya adalah selaras dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, mungkin terdapat kekeliruan mengenai pelaksanaan SOP oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) apabila ada beberapa negeri didapati melarang operasi kios dan gerai di dalam pusat beli-belah dan pasar raya.

"Memang kita ada terima aduan ada PBT yang ambil tindakan tidak membenarkan operasi gerai dalam pusat beli-belah dan pasar raya. Mungkin ada sedikit kekeliruan dalam pemahaman SOP berkenaan.

"SOP KPDNHEP adalah selaras dengan SOP MKN. Jelas dinyatakan dalam soalan lazim KPDNHEP bahawa hanya gerai sedia ada dibenarkan beroperasi, yang tak dibenarkan hanya gerai yang baru nak dibuka sahaja.

"Untuk yang baru nak buka, memang tak boleh, yang sedia ada saja dibenarkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas kekeliruan mengenai ada peniaga berkonsep kios di dalam pusat beli-belah dan pasar raya yang tidak dibenarkan berniaga oleh PBT di beberapa negeri.

Ia mengundang pelbagai reaksi daripada peniaga yang inginkan penjelasan mengapa keadaan itu berlaku.

Rosol berkata, sebagai langkah segera, pihaknya meminta pegawai di pejabat KPDNHEP di negeri terbabit untuk menyiasat perkara itu.

"Kita juga minta pejabat KPDNHEP negeri untuk berbincang dengan PBT di negeri terlibat bagi memberi penjelasan terperinci berhubung SOP operasi gerai dalam pusat beli-belah dan pasar raya supaya ia lebih jelas dan pelaksanaannya mengikut SOP ditetapkan.

"Justeru, kita minta orang ramai yang berdepan apa jua masalah untuk tampil memberikan maklumat bagi membolehkan siasatan dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 9:20 PM