Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin Yassin.
Mohd Iskandar Ibrahim


Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan usaha mempromosi pengambilan imunisasi tidak terhad kepada kerajaan, sebaliknya pihak berkuasa agama negeri perlu memainkan peranan memperbanyakkan program kesedaran berhubung kepentingan vaksin Covid-19.

Perdana Menteri berkata, itu antara perkara ditekankannya pada mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Elhwal Agama Islam Malaysia (MKI) Ke-68 bagi menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung.

"Saya tegaskan usaha mempromosi dan menggalakkan pengambilan imunisasi ini seharusnya tidak terhad kepada kerajaan Persekutuan dan negeri sahaja, memandangkan masih ramai dalam kalangan masyarakat umum tidak mendapat maklumat tepat mengenai keperluan mengambil vaksin.

"Saya berharap masyarakat mendapat penjelasan sejelas-jelasnya bahawa keputusan kerajaan dalam isu vaksin adalah berpandukan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020.

"Hukum mengenai penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan ditetapkan pihak berkuasa," katanya menerusi perkongsian di akaun Facebook rasminya, hari ini.

Justeru, Muhyiddin berharap, pihak berkuasa agama menggunakan semua platform yang ada bagi mempromosikan PICK selain perkara berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, pematuhan SOP ditetapkan penting bagi memastikan kadar kes harian pandemik itu terkawal.

Mesyuarat MKI Ke-68 diadakan secara persidangan video, dihadiri ketua kerajaan negeri serta ahli lantikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

PICK bermula pada 24 Februari lalu dengan Perdana Menteri menjadi individu pertama menerima vaksin Covid-19, empat hari selepas bekalan vaksin pertama negara keluaran Pfizer-BioNTech tiba di Malaysia.

Fasa pertama PICK yang menyasar memberi vaksin kepada 500,000 petugas barisan hadapan antara hujung Februari hingga April lalu.

Fasa 2 imunisasi membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac bermula pada April hingga Ogos depan untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa 3 pula bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk sekitar 13.7 juta penduduk di Malaysia berusia 18 tahun ke atas sama ada rakyat tempatan atau warga asing.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 4:43 PM