SUNTIKAN vaksin. FOTO arkib NSTP
SUNTIKAN vaksin. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Jumlah individu yang mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di aplikasi MySejahtera meningkat kepada 1,183,779 orang sehingga jam 7 pagi ini berbanding 1,065,423 orang semalam.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKAV), daripada jumlah itu seramai 3,580 individu sudah menerima suntikan vaksin yang merangkumi petugas barisan hadapan dan beberapa individu lain.

Sebelum ini media melaporkan pengguna MySejahtera kini boleh membuat pendaftaran untuk menyertai PICK sejak 23 Februari lalu.

PICK dilaksanakan menerusi tiga fasa, bermula dengan Kumpulan Barisan Hadapan, disusuli Kumpulan Berisiko Tinggi dan rakyat berusia 18 tahun ke atas.

Ia bagi memastikan antara 70 hingga 80 peratus rakyat di negara ini menerima vaksin menjelang Februari 2022, sekali gus membentuk imuniti kelompok bagi mengekang penularan Covid-19.

Fasa 1 PICK membabitkan 500,000 petugas barisan hadapan, bermula esok hingga April, manakala Fasa II pula membabitkan 9.4 juta orang dalam perkhidmatan penting, warga emas dan kumpulan berisiko tinggi dengan penyakit kronik, antara April hingga Ogos depan.

Fasa 3 pula dijadual bermula dari Mei hingga Februari 2022, mensasarkan 13.7 juta rakyat berumur 18 tahun ke atas.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin adalah rakyat pertama negara ini yang menerima suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 2:04 PM