GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seramai 292 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi operasi pematuhan di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 278 dikenakan tindakan kompaun manakala 14 lagi direman.

"Kesalahan tertinggi direkodkan adalah gagal mendaftar masuk premis membabitkan 75 individu manakala 62 individu tiada penjarakan fizikal.

"Kesalahan lain adalah tidak memakai pelitup muka (45) dan lain-lain (110)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, seramai tujuh pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan menerusi Operasi Benteng.

"Dalam operasi sama, sebanyak 83 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan," katanya.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut membuat 516 pemantauan harian ke atas 10 jenis bekalan barangan terdiri daripada peringkat peruncit (366), pemborong (120) dan pengilang (30), semalam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 7:09 PM