Polis menahan 15 individu termasuk penganjur selepas menyerbu premis yang dijadikan sarang perjudian di Taman Laman Rimbunan, Kepong di sini, malam tadi.
Polis menahan 15 individu termasuk penganjur selepas menyerbu premis yang dijadikan sarang perjudian di Taman Laman Rimbunan, Kepong di sini, malam tadi.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis menahan 15 individu termasuk penganjur selepas menyerbu premis yang dijadikan sarang perjudian di Taman Laman Rimbunan, Kepong di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, serbuan jam 9.25 malam dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

"Dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki disyaki penganjur dan 12 lelaki serta seorang wanita berusia antara 33 hingga 69 tahun.

"Polis turut merampas 11 keping kad bercetak angka, dadu, buah mahjung, satu unit rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan wang tunai RM10,907 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM12,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Saiful Annuar berkata, semua suspek dikenakan tindakan kompaun mengikut Peraturan 17 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

Katanya, suspek juga akan direman bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 3:48 PM