KAWASAN perjudian yang digempur pihak polis.
KAWASAN perjudian yang digempur pihak polis.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Jelebu: Akibat ketakutan sebaik lokasi bertaruh judi diserbu polis, seorang lelaki berusia 59 tahun cedera selepas terjatuh dalam longkang ketika cuba melarikan diri di sebuah rumah di Simpang Pertang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Othman Basri berkata, lelaki terbabit cedera di kepala, kaki, tangan serta dada selain mengalami sedikit pendarahan.

Katanya, berikutan itu, dia dibawa ke Klinik Kesihatan Pertang untuk rawatan lanjut.

Othman berkata, dalam serbuan jam 9.15 malam, pihaknya dimaklumkan sebuah rumah dijadikan lokasi bermain mahjung.

“Berikutan itu, sepasukan anggota menggempur lokasi menerusi Op Dadu Khas. Sebaik tiba, terdapat sekumpulan lelaki didapati sedang bertaruh sebelum kami memperkenalkan diri.

“Sebaik menyedari kehadiran polis, mereka bertindak melarikan diri, namun seorang daripada mereka terjatuh dalam longkang,” katanya.

Menurut Othman, polis kemudian menahan lapan lelaki berusia 52 hingga 75 tahun dengan kebanyakannya terdiri warga emas.

“Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu untuk diambil keterangan. Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai barangan digunakan bagi aktiviti perjudian berkenaan.

“Ia membabitkan tiga dadu, wang tunai RM93.18, mahjung, beberapa helaian kertas, sebuah piring, mangkuk, meja dan tiga kerusi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 6:34 AM