TANGAN kanan mangsa terpaksa dipotong selepas hancur akibat letupan mercun. FOTO Ihsan polis.
TANGAN kanan mangsa terpaksa dipotong selepas hancur akibat letupan mercun. FOTO Ihsan polis.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Kemeriahan menyambut 1 Syawal semalam bertukar tragedi buat seorang lelaki apabila tangan kanannya hancur terkena mercun.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11 pagi di hadapan rumah lelaki itu yang yang berusia 23 tahun di Kampung Batu Papan, di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintandan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati mangsa membuat mercun sendiri dengan menggunakan 50 mercun bola.

"Dia mengambil belerang daripada mercun itu dan memasukkannya ke dalam botol vape kosong sebelum menebuk lubang pada penutup itu untuk diletakkan sumbu serta dibalut.

"Bagaimanapun, ketika dia cuba menyalakan sumbu dengan pemetik api, mercun buatan berkenaan meletup di tangan kanannya sebelum sempat dibaling ke tanah.

"Akibat daripada itu, tapak tangan kanan mangsa hancur dan dia juga luka di bahagian muka dan pecah gegendang telinga," katanya di sini, hari ini.

Sik berkata, mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) oleh keluarganya dan dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

"Kita menerima maklum daripada HSIP Kuala Krai, tangan mangsa yang hancur terpaksa dipotong semalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 10:25 AM