KENDERAAN sesak di SJR di Plaza Tol Jalan Duta, hari ini. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KENDERAAN sesak di SJR di Plaza Tol Jalan Duta, hari ini. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 13 sekatan jalan raya (SJR) akan diadakan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya sempena Aidilfitri esok, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta larangan rentas daerah dan negeri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, antaranya ialah di Jalan Persekutuan, Lebuhraya Sungai Besi, Plaza Tol Jalan Duta dan Jalan Ampang berdekatan Bangunan Risda.

"Hampir 400 pegawai dan anggota akan dikerahkan untuk bertugas.

"Sejak pelaksanaan PKP di Selangor, Khamis lalu, sebanyak 1,472 kenderaan yang cuba keluar dan masuk ibu negara telah diarahkan berpatah balik, antara lain kerana tidak mendapat kebenaran polis untuk melakukan perjalanan rentas negeri," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, sejak pelaksanaan PKP, sebanyak 313 kompaun dikeluarkan ke atas individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah itu termasuk melakukan perjalanan rentas daerah.

Beliau berkata, kesesakan akibat SJR tidak dapat dielakkan kerana pihaknya perlu memeriksa satu persatu kenderaan untuk mengelakkan mereka melanggar SOP PKP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 8:50 PM