Aidi Ismail
Aidi Ismail
Melvin Joni


Kuching: Melawat ibu bapa, orang sakit dan lama tidak balik kampung adalah alasan yang paling banyak digunakan oleh orang ramai untuk melepasi sekatan jalan raya (SJR) supaya dapat bergerak dari zon kes zon di Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, setakat ini, sejumlah 1,123 buah kenderaan diarah berpatah balik kerana tiada permit polis untuk merentas zon khususnya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Hanya individu yang mempunyai permit polis sahaja dibenarkan melakukan pergerakan merentas zon, tiada kompromi bagi mereka yang menggunakan alasan-alasan tertentu," katanya yang dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pada masa ini polis masih lagi mengawal keluar masuk bagi 16 zon di seluruh Sarawak.

Aidi berkata, berdasarkan arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, setiap pergerakan merentas zon harus mendapatkan permit polis termasuk bagi perkhidmatan perlu.

"Perkhidmatan perlu yang tidak mempunyai permit polis adalah tidak dibenarkan untuk merentas zon," katanya.

Beliau menambah orang ramai juga perlu mendapatkan permit polis untuk merentas zon jika terdapat kecemasan (kematian, sakit tenat) termasuk kerja pembaikan kerosakan kecemasan, perkhidmatan penghantaran barang keperluan seperti sayur, makanan dan lain-lain serta perkhidmatan pengangkutan awam.

Aidi berkata pada masa ini, polis Sarawak menjalankan 47 SJR di seluruh negeri ini dan 57 SJR di kawasan Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) bagi kawasan PKPD.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 6:48 PM