KEADAAN pelanggan yang tidak menjaga penjarakan sosial di dalam kedai emas di Port Dickson menyebabkan pemilik premis itu dikompaun kerana melanggar PKPB, hari ini. FOTO ihsan polis.
KEADAAN pelanggan yang tidak menjaga penjarakan sosial di dalam kedai emas di Port Dickson menyebabkan pemilik premis itu dikompaun kerana melanggar PKPB, hari ini. FOTO ihsan polis.
Mohd Khidir Zakaria


POLIS menahan seorang lelaki warganegara Belarus ketika cuba merentas negeri dari arah Sepang, Selangor menghala ke Port Dickson di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer 26, Jalan Lukut-Sepang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian 2 petang itu, lelaki berusia 29 tahun itu berjalan tanpa sebarang kebenaran merentas negeri dan alasan munasabah.

"Pegawai bertugas di SJR mengeluarkan kompaun sebelum suspek memarahi anggota polis dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan bertindak agresif serta menghinanya.

"Ekoran itu suspek terus ditangkap dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk tindakan lanjut dan ini kes ketiga membabitkan warga asing dikompaun sepanjang Ops Covid-19 di daerah ini," katanya dalam satu kenyataan media di Port Dickson, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sementara itu, Aidi Sham berkata, kes kedua membabitkan pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini membabitkan tiada penjarakan sosial dalam kalangan pelanggan di kedai emas di bandar Port Dickson.

"Dalam kejadian 2.15 petang, saya bersama anggota melaksanakan pemantauan pematuhan PKPB dan hasil aduan orang awam mendapati pelanggan kedai emas tidak mematuhi penjarakan sosial di dalam premis itu.

"Pemerhatian dilakukan mendapati ramai pelanggan berada dalam premis pemilik premis dibawa ke Balai Polis Port Dickson dan dikenakan kompaun," katanya.

Aidi Sham berkata, orang awam diingatkan supaya menghormati serta memberi kerjasama kepada pegawai dan anggota bertugas terutama di SJR.

Beliau berkata, pemilik premis perlu mematuhi SOP dan garis panduan ditetapkan kerajaan terutama kehadiran pelanggan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 9:43 PM