FOTO fail menunjukkan Tajuddin pada  sidang media selepas meninjau kemalangan tren di stesen LRT KLCC. FOTO Arkib NSTP
FOTO fail menunjukkan Tajuddin pada sidang media selepas meninjau kemalangan tren di stesen LRT KLCC. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dikenakan kompaun RM1,500 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kertas siasatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Tajuddin sudah dikembalikan dari pejabat Jabatan Peguam Negara, semalam.

"Susulan itu, beliau dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2021.

"Kesalahan gagal memakai pelitup muka itu dilakukan semasa mengadakan sidang media berkaitan insiden kemalangan membabitkan tren di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) KLCC), di sini, seperti disyaratkan dalam SOP PKP yang sedang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tawaran kompaun RM1,500 itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

"Orang ramai dinasihatkan supya terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memerangi wabak Covid-19," katanya.

Beliau berkata, Tajuddin menjelaskan kompaun dikenakan ke atasnya di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Lembah Pantai pada 3.30 petang, hari ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan polis menjalankan siasatan berhubung rakaman video menunjukkan Tajuddin tidak memakai pelitup muka, yang tular di media sosial, pada 25 Mei lalu.

Kejadian itu berlaku ketika beliau mengadakan sidang media selepas meninjau kemalangan tren di stesen LRT KLCC, hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 9:51 AM