CHE Eshah bersama Norhashimah (kanan) dan Nuralia Jamila (berdiri, kiri) meninggalkan pusat pemberian vaksin selepas mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
CHE Eshah bersama Norhashimah (kanan) dan Nuralia Jamila (berdiri, kiri) meninggalkan pusat pemberian vaksin selepas mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Keyakinan tinggi terhadap AstraZeneca menjadikan tiga sekeluarga membuat keputusan mendapatkan suntikan vaksin itu.

Nuralia Jamila Ali, 25, berkata, dia bersama ibu dan neneknya selesai mendapatkan suntikan dos pertama di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Menurutnya, mereka sekeluarga yakin selepas melihat bapa dan beberapa ahli keluarganya di England tidak mengalami sebarang implikasi selepas mengambil suntikan.

Katanya, sebaik mengetahui kerajaan membuka slot suntikan sukarela vaksin AstraZeneca dia tidak mahu melepaskan peluang berharga ini.

"Sebelum membuat keputusan untuk mengambil suntikan, saya sudah mengumpul maklumat menerusi pembacaan berkaitan AstraZeneca.

"Apabila ada peluang ini saya turut mengajak ibu dan nenek untuk turut mendapatkan suntikan vaksin ini selepas melihat bapa tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas selesai mengambil dua dos vaksin sama," katanya ketika ditemui di WTC hari ini.

Ibunya, Nurhashimah Mohd Yasin, 58, dan neneknya Che Eshah Ab Rahman, 84, selesai mengambil suntikan vaksin hari ini.

Mereka sekeluarga akan menunggu selama 12 minggu lagi sebelum mendapatkan suntikan kedua.

Bagi Nurhashimah, apabila selesai suntikan ia boleh memudahkannya untuk bergerak khususnya ke luar negara selepas ini.

"Suami saya kini berada di England dan kini memang sukar untuk ke luar negara kerana suntikan vaksin antara syarat yang dikenakan.

"Jika mahu menunggu giliran selepas mendafar dalam MySejahtera ia mungkin ambil masa jadi saya fikir peluang yang diberikan kerajaan ini perlu digunakan sebaik mungkin.

"Jangan bimbang kerana vaksin ini sudah terbukti selamat namun segalanya tetap diserahkan kepada Allah SWT agar tiada kesan memudaratkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 3:11 PM