ISMAIL Sabri. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kerajaan memutuskan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kawasan di Johor dan Kelantan bermula hari ini dan esok.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini kerajaan memutuskan Mukim Endau dan Triang di Mersing dikenakan (PKP).

"Sepanjang tempoh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan tiga kes positif Covid-19 hasil daripada 202 keseluruhan ujian saringan di kedua-dua lokaliti berkenaan.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKP di Mukim Endau dan Triang, Mersing pada 3 Mei ini seperti yang dijadualkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga sebelum ini mengenakan PKPD di Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Tumpat, Kelantan.

"Sehingga kini, KKM melaksanakan 329 ujian saringan, 181 daripadanya disahkan positif Covid-19.

"Terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah diasingkan dan dimasukkan ke pusat kuarantin.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di SMU (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Tumpat, bermuala esok (2 Mei) lebih awal daripada yang dijadualkan," katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP), menurut Ismail Sabri, sehingga semalam, seramai 500 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu seramai 489 individu dikompaun manakala 11 lagi direman.

"Seramai 3,254 Pasukan Pematuhan membabitkan 14,602 anggota membuat pemantauan di 4,533 pasar raya, restoran (4,859), kilang (1,719), bank (3,999), pejabat kerajaan (740) dan penjaja (4,125).

"Turut dipantau ialah pasar awam/tani (2,433), tempat ibadah (3,197), tempat riadah (1,521), terminal pengangkutan darat (1,633), terminal pengangkutan air (334) dan terminal pengangkutan udara (135)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 6:14 PM