MUHAMMAD Sanusi Md Nor. FOTO arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi Md Nor. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Penduduk di lima daerah di negeri ini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diharap dapat menerima langkah yang diambil kerajaan sebagai kebiasaan baharu menghadapi ancaman Covid-19 meski pun bakal menyambut Aidilfitri.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, nikmat kesihatan dan keselamatan hanya berharga apabila kesakitan dan bencana menimpa justeru mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

"Saya memahami kesukaran yang dihadapi oleh orang ramai terutama berkait kegiatan ekonomi peniaga dan penjaja namun langkah ini amat perlu demi kepentingan keselamatan dan kesihatan orang ramai.

"Saya berharap perniagaan dapat dilaksanakan secara dalam talian dan kaedah penghantaran dapat dimanfaatkan oleh peniaga makanan dan keperluan lain," katanya di Facebook, malam tadi.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan lima daerah iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim akan dilaksanakan PKP bermula hari ini berikutan, dalam tempoh 14 hari hingga semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 709 kes aktif direkodkan di semua daerah berkenaan.

"Saya berharap seluruh rakyat Kedah akan terus mematuhi SOP dan menjaga keselamatan diri, anak-anak dan keluarga masing-masing.

"Jika diberi pilihan, tentulah kita akan memilih berhari raya dan menjalani kehidupan seperti tahun-tahun sebelumnya, namun pandemik Covid-19 yang sedang mengancam seluruh dunia pada ketika ini haruslah dipandang serius dan kita wajib sentiasa bersikap berhati-hati.

"Saya menyeru seluruh rakyat segera mendaftar untuk program vaksinasi melalui MySejahtera dan pusat-pusat kesihatan berhampiran dan bekerjasama hadir bagi mendapatkan vaksin yang ditawarkan oleh Kerajaan Malaysia di Pusat-pusat Pemberi Vaksin (PPV) di setiap daerah," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan majlis berbuka puasa Pejabat Menteri Besar di beberapa daerah dan di beberapa lokasi lain yang belum berlangsung dibatalkan dan sumbangan yang dijadualkan bersama majlis itu akan dilaksanakan secara hantaran ke rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 11:38 AM