Wartawan HM

Kuala Lumpur: Kerajaan akan memulakan roll-out pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin ini yang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia.

Menurutnya, program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini akan membabitkan tiga fasa.

"Fasa pertama akan membabitkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan.

"Fasa ini amat penting untuk melindungi petugas barisan hadapan kita dalam memerangi pandemik Covid-19. Fasa pertama program imunisasi ini dijadualkan tamat pada April," katanya ketika sidang media khas sebentar tadi.

Manakala bagi fasa kedua pula, Muhyiddin berkata ia akan membabitkan kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

"Mereka ialah warga emas dan golongan rentan iaitu yang berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi. Golongan orang kelainan upaya (OKU) turut termasuk di dalam fasa ini.

"Sebanyak 9.4 juta orang dianggarkan akan menerima vaksin di bawah fasa kedua ini, yang akan berlangsung mulai April hingga Ogos 2021," katanya.

Bagi fasa ketiga pula, kata beliau, baki penerima vaksin adalah golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang akan bermula dari bulan Mei 2021 hingga Februari 2022.

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan perutusan khas yang disiarkan secara langsung. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan perutusan khas yang disiarkan secara langsung. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN

"Fasa ini penting untuk membentuk perlindungan kelompok atau herd immunity dan seterusnya mengawal pandemik ini secara menyeluruh.

"Untuk memastikan program ini berjalan dengan lancar, teratur serta memudahkan orang ramai, lebih 600 pusat simpanan yang juga pusat pemberian vaksin akan dibuka di seluruh negara.

"Saya sudah mengarahkan pihak berkuasa supaya menggunakan pelbagai kemudahan termasuk fasiliti kesihatan awam dan swasta, stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai serta universiti sebagai pusat vaksinasi.

"Peruntukan di dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 akan digunakan oleh Kerajaan untuk mengambilalih secara sementara dewan dan kemudahan yang lain bagi tujuan persediaan untuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan," katanya.

Beliau berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini adalah program vaksinasi terbesar yang pernah dilaksanakan di negara ini.

"Justeru, saya menyeru dan mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan segala sumber yang ada bagi menjayakan program ini.

"Anda semua boleh bersama-sama menghulurkan bantuan sama ada dari aspek perubatan dan bukan perubatan, khususnya aspek pendidikan kesihatan di pusat-pusat vaksinasi bagi menjayakan program ini.

"We are all in this together, and only together can we win. Lindung diri, lindung semua," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 4:20 PM