TONG gas dan petrol yang dirampas di Pitas. FOTO ihsan PPM
TONG gas dan petrol yang dirampas di Pitas. FOTO ihsan PPM
Juwan Riduan


Pitas: Cubaan seorang lelaki menyeludup keluar tong gas petroleum cecair (LPG) dan petrol gagal selepas kegiatannya dipatahkan pihak berkuasa, semalam.

Kegiatan berkenaan berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat dalam operasi Op Benteng Covid-19 yang dijalankan di sekitar daerah ini.

Pegawai Pemerintah PPM Kudat Asisten Superintendan Rizauddin Selamat berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya mengesan seorang lelaki berusia 35 tahun sedang memunggah barang kawalan terbabit.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati semua barang kawalan berkenaan dimiliki tanpa permit yang sah.

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek adalah pemilik stor penyimpanan barang kawalan berkenaan dan ia dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

"Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan serbuan menemui tong gas dan tong yang berisi petrol dalam kuantiti yang banyak," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rizauddin berkata, suspek juga gagal mengemukakan dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tujuan berkenaan.

Katanya, semua barang kawalan berkenaan kemudian dirampas dan dibawa ke pangkalan PPM Kudat untuk tindakan selanjutnya.

"Nilai keseluruhan rampasan ini dianggarkan berjumlah RM2,700 berdasarkan harga pasaran semasa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961 dibaca bersama peraturan-peraturan kawalan bekalan," katanya.

Rizauddin berkata, jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda RM1 juta dan tiga tahun penjara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 4:58 PM