MOHD Ridzuwan menunjukkan gambar arwah isterinya, Norshuhada yang meninggal dunia tahun lalu. FOTO Zuliaty Zulkifli.
MOHD Ridzuwan menunjukkan gambar arwah isterinya, Norshuhada yang meninggal dunia tahun lalu. FOTO Zuliaty Zulkifli.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Rindu saya terhadap arwah isteri, Norsyuhada Othman yang meninggal dunia tahun lalu akibat kanser darah tidak pernah pudar malah demi anak-anak, saya kuatkan semangat untuk menempuh ujian mendatang.

"Ketika hayatnya, arwah paling sibuk menyediakan juadah rendang dan ketupat ketika Aidilfitri, tetapi kini semuanya tinggal kenangan," kata Mohd Ridzuwan Rosli, 28.

Mohd Ridzuwan yang bertugas sebagai anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah berkata, isterinya meninggal dunia pada 26 Ogos tahun lalu selepas 16 hari melahirkan anak kedua mereka.

Katanya, isterinya dikesan menghidap kanser ketika usia kandungannya enam bulan dan ketika itu dia bertugas di APMM Kelantan.

"Masa dapat tahu isteri sakit, saya membawanya menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan dan mendapati paras haemoglobin rendah.

"Sepatutnya dia menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kelantan tetapi terpaksa pulang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di Alor Setar," katanya ketika ditemui di Jeti Bot Zon Maritim Maritim Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Ridzuwan, doktor kemudian memaklumkan isterinya disahkan menghidap kanser Burkitts Leukimia Lymphoma dan sangat cepat merebak.

Katanya, doktor mengesyorkan supaya isteri menjalani rawatan kimoterapi dengan segera tetapi ketika itu dia sedang mengandung.

"Anak kedua kami lahir tidak cukup bulan iaitu ketika usia kandungan memasuki tujuh bulan.

"Arwah isteri meninggal dunia tidak lama kemudian dan saya reda dengan apa yang berlaku malah menganggap ia satu ujian Allah," katanya yang kini bertugas di APMM Zon Maritim Kuala Kedah.

Mohd Ridzuwan berkata, disebabkan itu dia terpaksa berpisah dengan anak keduanya, Nur Raisha Safiya, lapan bulan yang kini tinggal bersama keluarga mentua di Pengkalan Hulu, Perak.

Anak sulungnya, Muhammad Saif Rifqi, 3, kini tinggal bersamanya dan keluarga di Kampung Iboi, Baling.

"Saya berulang alik kerja dari Kuala Kedah ke Baling setiap hari dan jika ada kelapangan di hari cuti, barulah saya pergi melihat Nur Raisha di rumah mentua.

"Ini kali pertama saya menyambut Aidilfitri tanpa isteri," katanya yang akan bertugas Aidilfitri, tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 1:48 PM