JAMILAH (kiri) dan Nor Fitrah ketika kunjungan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. FOTO ROSELAN AB MALEK
JAMILAH (kiri) dan Nor Fitrah ketika kunjungan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Temerloh: Usaha tidak kenal erti jemu mahu menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi memenuhi cita-cita sejak kecil membuahkan hasil apabila diterima masuk dalam pasukan itu pada September lalu.

Namun, karier Allahyarham Konstabel Norhalim Tumiran, 25, hanya bertahan kira-kira enam minggu sebelum maut akibat tertembak dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Sibu, Sarawak, Khamis lalu.

Ibunya Jamilah Daman, 63, berkata walaupun Norhalim berjaya mencapai impiannya, tetapi kerjaya diminati anak bongsu daripada tiga beradik itu hanya bertahan seketika sahaja.

"Sejak dari kecil, Norhalim selalu menceritakan dia ingin menyertai pasukan polis, malah tidak berputus-asa untuk terus menghadiri temu duga walaupun empat kali gagal sebelum itu.

"Saya ingat dia ada memberitahu saya dan isterinya, Nor Fitrah Ramli, 25, bahawa jika dia gagal temu duga kali kelima ini maka dia akan memohon untuk menyertai tentera pula," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Bukit Damar, Lanchang di sini, hari ini.

Jamilah berkata, dalam setiap temu duga, arwah tidak akan pergi bersendirian, sebaliknya membawa dia dan isterinya termasuk ke Kuala Terengganu dan Kuantan.

"Setiap kali gagal temu duga, dia berusaha keras termasuk berjoging pada malam hari sehinggalah dia diterima untuk latihan pada September lalu.

"Kali terakhir saya bertemu arwah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 Mac lalu selepas dia tamat latihan di Segamat, Johor dan bersedia untuk bertugas di Sibu," katanya.

Katanya, Norhalim begitu teruja untuk bertemu isteri dan anak perempuannya, Anurasyfa Alisha ketika itu baru berusia beberapa bulan.

"Dia menyuruh saya membawa tempe goreng kegemarannya ke lapangan terbang. Kami bertemu kira-kira satu jam dan dia memeluk kami dengan erat sebelum memasuki pintu pelepasan.

"Saya masih ingat, dia berulang kali mengingatkan saya supaya tidak melewatkan makan ubat serta menjaga kesihatan," katanya yang kali terakhir membuat panggilan video dengan arwah pada pagi hari kejadian.

Sementara itu, Nor Fitrah berkata, suaminya memberitahu keluarga bahawa dia tidak akan pulang untuk Aidilfitri, tetapi berjanji akan membawa mereka ke Sarawak pada Aidiladha nanti.

"Dia bercadang untuk menyewa rumah dan membawa saya serta Anurasyfa berpindah dengannya di sana. Ketika dia menyertai pasukan polis tahun lalu, dia menyuruh saya berhenti bekerja dan bersiap untuk mengikutinya di mana sahaja dia ditempatkan kelak.

"Walaupun memberitahu tidak pulang untuk Aidilfitri, dia sudah membeli pakaian baru untuk seluruh keluarga dan menghantarnya ke sini.

"Setiap kali menghantar pakaian dan kasut untuk Anurasyfa, dia (arwah) akan menyuruh saya mengambil gambar dan mengirimkan kepadaya," katanya.

Katanya, Norhalim juga adalah bekas pemain bola sepak Piala Presiden Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 8:51 PM