Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kerajaan bercadang meminda Akta Angkatan Tentera 1972 (Akta 77) berhubung peraturan pencen dan ganjaran anggota dengan membolehkan mereka berkhidmat selama tempoh 21 tahun dan menerima pencen apabila tamat perkhidmatan

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika anggota tentera mempunyai pilihan berhenti sukarela apabila perkhidmatan menjangkau 12 tahun, 15 tahun atau 18 tahun, namun tidak layak menerima pencen.

"Selepas bersara, anggota ini tidak menerima pencen dan akan menjalankan perniagaan, namun apa yang kita khuatirkan adalah jika perniagaan mereka tidak menjadi.

"Cadangan ini adalah untuk menjamin anggota tentera yang berkhidmat menerima pencen apabila tamat berkhidmat," katanya pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan, Berbuka Puasa dan Ramah Mesra bersama Persatuan-Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira ATM di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Seramai 175 wakil daripada 73 persatuan veteran ATM di seluruh negara hadir perjumpaan itu dan berdialog mengenai isu semasa veteran.

Terdahulu, wakil persatuan itu menyuarakan kebimbangan susulan ramai anggota tentera yang tidak berpencen kini menghadapi kesulitan hidup.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, setakat ini sebanyak RM8.745 juta berjaya dikutip menerusi Tabung Pahlawan yang dikhususkan membantu anggota dan veteran memerlukan.

"Baki RM4 juta masih belum diterima, (dan) ini adalah daripada syarikat korporat yang mahu menyalurkan sumbangan. Jadi jumlah keseluruhan yang berjaya dikutip ialah RM12.745 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 8:27 PM