Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pekerja membaik pulih kenderaan maut dihempap pokok dalam kejadian di Jalan Perak, Jelutong, hari ini.

Mangsa dikenal pasti sebagai Yong Geeng Huei, 53, dari Taman Seri Angsana, Bayan Lepas meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak Aazelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 9.38 pagi.

Pihaknya berdepan dengan kesukaran bagi ke tempat kejadian berikutan kesesakan lalu lintas walaupun ia terletak kurang dua kilometer dari balai bomba.

"Ketika di lokasi, didapati pokok dengan ukur lilit kira-kira dua meter tumbang merentangi jalan raya dan menghempap Proton Wira.

"Mangsa yang dihempap pokok itu ditemukan tersepit di tempat duduk pemandu," katanya lagi.

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Jalan Perak melakukan kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas pokok tumbang di atas jalan raya dan menghempap kereta di Jalan Perak. FOTO Mikail Ong
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Jalan Perak melakukan kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas pokok tumbang di atas jalan raya dan menghempap kereta di Jalan Perak. FOTO Mikail Ong

Menurut A'azelan lagi, pihaknya mengambil masa selama dua jam bagi kerja memotong pokok dan mengeluarkan mayat mangsa.

"Kerja menyelamat turut dibantu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) terdekat.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi urusan bedah siasat," katanya ketika ditemui, di sini.

Sementara itu abang mangsa yang mahu dikenali sebagai Yong, 55, berkata, ketika kejadian, adiknya mahu ke tempat kerja.

"Dia bekerja sebagai pembalik pulih kenderaan di sini. Tidak sangka dia terbabit dalam kejadian berkenaan," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Operasi tamat pada 11.15 pagi.

KEADAAN kereta yang dihempap pokok
KEADAAN kereta yang dihempap pokok

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 12:06 PM