BOMBA menyelamatkan dua warga emas yang terperangkap ketika banjir di Kampung Laut, Skudai. FOTO Ihsan Bomba dan pembaca.
BOMBA menyelamatkan dua warga emas yang terperangkap ketika banjir di Kampung Laut, Skudai. FOTO Ihsan Bomba dan pembaca.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Banjir kilat yang melanda tiga kawasan di sekitar Johor Bahru dan Gelang Patah petang semalam pulih sepenuhnya.

Seorang mangsa di Kampung Mohamad Amin di Johor Bahru, Maznah Ibrahim, 30, berkata keluarganya mula membersihkan rumah yang dicemari dengan lumpur mulai pagi hingga tengahari hari ini.

Menurutnya, pelbagai barangan di rumah mengalami kerosakan termasuk perabot dan barangan elektrik hingga terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM2,000.

"Semua ini adalah dugaan buat kami sekeluarga di bulan Ramadan ini. Beberapa barangan persiapan Aidilfitri turut musnah.

"Bagaimanapun kami bersyukur ahli keluarga kami dalam keadaan selamat dan malam tadi kami terpaksa tinggal di sebuah hotel berhampiran," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor berkata, kawasan yang terbabit dalam banjir kilat termasuk Kampung Laut , Skudai, Nusa Central di Gelang Patah dan Kampung Mohamad Amin di pusat bandar raya Johor Bahru.

Menurutnya, banjir kilat yang berlaku berpunca daripada hujan lebat sejak tengahari semalam namun ia pulih sepenuhnya.

"Bomba berjaya menyelamatkan tiga mangsa yang terperangkap dalam kereta di Nusa Sentral selain dua warga emas di Kampung Pasir.

"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 9:07 PM