GAMBAR hiasan. FOTO Aizuddin Saad.
GAMBAR hiasan. FOTO Aizuddin Saad.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Empat lagi kawasan di Kelantan, Pahang dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa tengah malam ini.

Kawasan terbabit adalah Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kelantan; Institut Aminuddin Baki dan Kuarters Kakitangan Sri Layang, Bentong, Pahang; Taman Tawau Lama serta Kampung Batu Payung, Tawau, Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan itu berikutan berlaku penularan jangkitan Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 31 kes positif Covid-19 direkodkan di Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman daripada 56 ujian saringan yang dilaksanakan.

"Manakala KKM melakukan 420 ujian saringan di Institut Aminuddin Baki dan Kuarters Kakitangan. Secara kumulatifnya, 15 kes positif Covid-19 direkodkan.

"KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh seminggu selain masih terdapat 247 sampel ujian menunggu keputusan di lokaliti ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kes di Taman Tawau Lama, Ismail Sabri berkata, KKM sudah melaksanakan sembilan ujian saringan dan daripada jumlah itu lima kes positif dilaporkan.

Sementara itu, katanya, Kampung Batu Payung pula merekodkan lapan kes positif daripada 12 ujian saringan yang dilakukan.

Justeru, beliau berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di semua kawasan berkenaan bermula 17 April sehingga 30 April ini.

Tambah beliau, pelaksanaan PKPD itu bagi memastikan pergerakan keluar masuk dapat dikawal dan seterusnya menghalang penularan dalam komuniti.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 6:22 PM