Suspek ditahan bersama 1,455 ekor burung murai kampung dan murai batu yang cuba diseludup ke negara jiran.
Suspek ditahan bersama 1,455 ekor burung murai kampung dan murai batu yang cuba diseludup ke negara jiran.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Cuba seludup 1,455 ekor burung murai kampung dan murai batu ke negara jiran dengan menyembunyikannya di sebuah rumah di Sungai Rengit, Kota Tinggi, Johor.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, semua burung dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Kehidupan Liar 2010 itu dipercayai cuba diseludup ke Indonesia oleh tiga lelaki tempatan.

Menurutnya, kejayaan menumpaskan aktiviti jenayah itu hasil tindakan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kota Tinggi, Johor.

"Mereka berjaya menghidu kegiatan tiga suspek berusia 30-an hingga 40-an sebelum melakukan serbuan jam 6.14 pagi semalam.

"Hasil serbuan itu, mereka menemui 97 bakul berisi 1,455 burung murai kampung. Satu lagi bakul berasingan berisi tujuh burung murai batu.

"Semua bakul itu sudah siap dikumpulkan suspek dan dipercayai sedia untuk diseludup ke negara jiran menggunakan bot," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan anggaran kasar, seekor burung ini boleh dijual mencecah RM1,000 seekor di negara jiran mengikut kemerduan suara dan saiz.

"Difahamkan polis turut merampas dua kenderaan yang dipercayai digunakan untuk memindahkan burung berkenaan.

"Semua rampasan itu kemudian diserahkan polis kepada Pejabat Perhilitan Daerah Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 60(1a) Akta Pemuliharaan Kehidupan Liar 2010. Jika sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 8:42 PM