Dr Adham memberi panduan  vaksin kepada masyarakat di rumah panjang, Sarawak. FOTO IHSAN FB  Dr Adham Baba.
Dr Adham memberi panduan vaksin kepada masyarakat di rumah panjang, Sarawak. FOTO IHSAN FB Dr Adham Baba.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba turun padang ke kawasan luar bandar bagi memberi panduan pendaftaran penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera kepada penduduk.

Friends of Malaysia Frontliners memuat naik hantaran di Facebook memaklumkan, Dr Adham sendiri mengadakan pertemuan dengan masyarakat di Rumah Panjang Kampung Sungai Engkabang di Serian, Sarawak, hari ini.

Hantaran itu menjelaskan, dalam lawatan berkenaan, Dr Adham memberikan penerangan lanjut kepada masyarakat rumah panjang mengenai kepentingan pendaftaran penerima vaksin.

"Hari ini terus bergerak ke beberapa komuniti dan berjumpa dengan masyarakat di pedalaman.

"YB (Yang Berhormat) Menteri sendiri memberi penerangan mengenai proses mendaftar vaksin melalui aplikasi MySejahtera menggunakan telefon bimbit," menurut catatan dalam akaun Facebook itu.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook beliau, Dr Adham memaklumkan turut memberikan taklimat tentang pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan beberapa panduan lain tentang vaksinasi.

Dalam program lawatan kerja sehari ke Sarawak itu juga, Dr Adham turun padang bagi melihat situasi terkini Covid-19 di negeri itu.

Turut bersama dalam lawatan beliau Timbalan Menteri Kesihatan 2 Aaron Ago Dagang dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Mohd Shafiq Abdullah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 6:33 PM