SUSPEK yang memecah cermin sebuah kereta untuk mencuri di perkarangan Dataran C180, Cheras, Kajang, ditahan orang awam diserahkan kepada pihak polis, kelmarin.
SUSPEK yang memecah cermin sebuah kereta untuk mencuri di perkarangan Dataran C180, Cheras, Kajang, ditahan orang awam diserahkan kepada pihak polis, kelmarin.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Seorang lelaki ditahan polis selepas memecahkan cermin kereta untuk mencuri di pekarangan Dataran C180, Cheras, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang memaklumkan cermin kereta sebelah kiri miliknya dipecahkan pada 10.30 malam.

"Bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan anggota dari Balai Polis Bandar Tun Hussein Onn menahan seorang lelaki tempatan di lokasi terbabit dengan bantuan orang awam yang berada di tempat kejadian pada 12.30 tengah malam.

"Semakan mendapati suspek berusia 46 tahun itu memiliki 20 rekod jenayah termasuk kes pecah cermin kereta dan curi," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut kes berkenaan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan kali pertama dan boleh dipenjara dan didenda serta dikenakan sebatan bagi kesalahan kedua.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Affiq Shahmey di talian 0132490964 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 10:07 AM