RAKYAT Indonesia menggunakan GeNose C19 untuk mengesan virus Covid-19 melalui hembusan nafas. FOTO EPA
RAKYAT Indonesia menggunakan GeNose C19 untuk mengesan virus Covid-19 melalui hembusan nafas. FOTO EPA
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Penggunaan kit saringan selain daripada Rapid Test Kit Antigen (RTK-antigen) atau Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) perlu mendapat kelulusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pakar Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, kaedah hembusan nafas GeNose C19 yang dibuat Indonesia kini masih belum terbukti ketepatannya.

Menurutnya, kaedah itu hanya boleh diterima pakai untuk digunakan di Malaysia jika sudah mendapat kelulusan WHO.

"Kaedah saringan GeNose C19 ini sebenarnya baik kerana cepat dan murah, namun masih belum mendapat kelulusan WHO.

"Apa yang dikhuatiri adalah tahap ketepatan ujian adalah rendah dan boleh merisikokan masyarakat," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penggunaan GeNose C19 ciptaan Universiti Gadjah Mada (UGM) untuk mengesan virus Covid-19 melalui hembusan nafas.

Setakat ini, kit ujian itu hanya mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Indonesia.

Selain Indonesia, alat pengesan Covid-19 menggunakan nafas atau breathlyzer ini sudah dikaji dan dibangunkan pelbagai negara seperti Amerika Syarikat, Belanda, Finland, Jerman, Britain, Australia dan Kanada.

Dr Hanafiah berkata, jika terbukti berkesan mengesan Covid-19 sehingga 80 peratus ke atas, sudah pasti kit berkenaan memudahkan masyarakat menjalankan ujian lebih kerap kerana kos yang rendah.

"Saya berharap kit ujian pernafasan (GeNose C19) ini boleh mendapat kelulusan segera WHO dan digunakan secara meluas.

"Ia juga memudahkan masyarakat yang mahu merentas negeri menggunakan kaedah ujian ini sebagai syarat kelulusan," katanya.

Bermula 5 April lalu, perkhidmatan pemeriksaan Covid-19 menerusi GeNose C19 (selain ujian calitan, ujian antigen dan rapid test (ujian darah) mula dilaksanakan di stesen kereta api di Indonesia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 6:06 PM