PRODUK lemak sayuran seberat 7,824 kilogram yang dirampas MAQIS. FOTO ihsan MAQIS
PRODUK lemak sayuran seberat 7,824 kilogram yang dirampas MAQIS. FOTO ihsan MAQIS
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Tindakan sebuah syarikat tempatan membawa masuk majerin dari Ireland menggunakan dokumen mengelirukan membawa padah apabila ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Selangor di Pelabuhan Utara, di sini, Isnin lalu.

Pemangku Pengarah MAQIS Negeri Selangor, Zamri Hashim berkata, produk lemak sayuran seberat 7,824 kilogram itu ditahan ketika pihaknya menjalankan pemeriksaan rutin kira-kira 10 pagi.

"Penguat kuasa MAQIS menahan dan merampas produk lemak sayuran itu selepas dipercayai ia dibawa masuk menggunakan dokumen yang mengelirukan.

"Siasatan ke atas dokumen mendapati maklumat berat barang dagangan tidak sama dengan berat yang dibawa masuk.

"Pemeriksaan mendapati anggaran nilai keseluruhan barang dagangan berkenaan adalah sebanyak RM116,211.73," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zamri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengemukakan permit yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, MAQIS sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara.

"Usaha ini bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 10:54 AM