Masjidilharam, Makkah. FOTO fail AFP
Masjidilharam, Makkah. FOTO fail AFP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memberi lesen haji kepada 22 syarikat pelancongan tempatan termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi 2021.

Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pelantikan 22 PJH itu adalah sebahagian daripada pelan persediaan awal haji yang dilakukan TH.

"Setakat hari ini, kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu makluman rasmi berkaitan urusan haji untuk 1442H/2021M daripada pihak berkuasa Arab Saudi.

"Oleh itu, semua PJH yang dilesenkan tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH," katanya di majlis penyerahan lesen PJH di Menara TH, di sini, hari ini.

Menurutnya, perkhidmatan pakej haji tanpa mendapat kelulusan TH adalah menjadi satu kesalahan.

"Perlu diingatkan mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa memperoleh kelulusan daripada TH adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535)," katanya.

Katanya, TH berharap orang ramai sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga kerana TH tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam hal berkaitan tawaran haji dan pakej haji.

"Semua wakil PJH yang hadir pada majlis ini diberikan taklimat berkaitan norma baru pelaksanaan ibadat haji pada musim pandemik Covid-19.

"Senarai PJH yang menerima lesen daripada TH boleh disemak di laman web rasmi TH (http://www.tabunghaji.gov.my) dan seperti di Lampiran A.

"Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC)di talian 03-6207 1919," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 5:10 PM