GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Bekas Pengerusi dan Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan pecah amanah serta bersubahat membabitkan wang berjumlah RM195,000, dua tahun lalu.

Tertuduh Bok Siew Mun, 47, dan Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di mahkamah berasingan.

Di Mahkamah Sesyen Jenayah 6, Siew Mun didakwa sebagai pengerusi ketika kejadian melakukan pecah amanah membabitkan harta MCPF Kuala Lumpur yang diamanahkan kepadanya dengan mengarahkan bayaran secara cek berjumlah RM195,000 kepada syarikat Trio Green Hornet Sdn Bhd.

Perbuatan dilakukan di Maybank Cawangan Bandar Sri Permaisuri, di sini, antara 26 Februari 2019 sehingga 31 Mei 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun sehingga 20 tahun dan sebat serta denda.

Hakim Hasbullah Adam membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 April depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen Jenayah 1, Saiful Hamiruzzaman yang juga Pakar Kriminologi didakwa bersubahat bersama Siew Mun untuk melakukan pecah amanah dengan mengemukakan invois syarikat Trio Green Hornet Sdn Bhd dan menandatangani baucer bayaran MCPF Kuala Lumpur di lokasi sama serta pada tarikh sama.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun sehingga 20 tahun dan sebat serta denda.

Hakim Sabariah Othman juga menetapkan jaminan RM20,000 kepada Saiful dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Vignesh Kumar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 12:19 PM