413,255 individu sudah terima suntikan vaksin.
413,255 individu sudah terima suntikan vaksin.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 413,255 individu di negara ini sudah menerima suntikan vaksin setakat semalam menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang memasuki hari ke-25 pelaksanaannya sejak dimulakan pada 23 Februari lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya hari ini, berkata daripada jumlah itu, seramai 402,650 individu menerima suntikan dos pertama, manakala 10,605 individu sudah melengkapkan kedua-dua suntikan vaksin terbabit.

Tiga negeri mencatat jumlah tertinggi individu yang menerima dos pertama vaksin berkenaan iaitu Selangor (52,971), Perak (48,136) dan Sabah (40,134).

Ini diikuti Kuala Lumpur (35,751); Sarawak (33,788); Pahang (30,320); Johor (29,238); Pulau Pinang (26,879); Kedah (26,265); Kelantan (18,977); Negeri Sembilan (17,279); Terengganu (15,726); Melaka (10,716); Perlis (9,526); Putrajaya (4,601) dan Labuan (2,343).

Bagi individu yang sudah melengkapkan kedua-dua suntikan vaksin berkenaan pula, Sarawak adalah negeri yang merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 4,848 individu, diikuti Pahang (2,549); Perak (713); Sabah (591); Kuala Lumpur (565); Selangor (369) dan Pulau Pinang (328).

Melaka (187); Perlis (156); Labuan (127); Putrajaya (85); Johor (74); Kedah dan Terengganu, masing-masing enam, Kelantan (1) dan tiada penerima yang melengkapkan kedua-dua suntikan itu di Negeri Sembilan, setakat ini.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April ini akan membabitkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Program akan diteruskan bagi fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, selain orang kurang upaya.

Sementara fasa ketiga yang dijadualkan bermula Mei hingga Februari 2022 adalah untuk kumpulan individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 3:09 PM