GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 279,023 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah melengkapkan dos suntikan vaksin mereka setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, bagi tempoh sama, seramai 508,481 individu menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara kini sebanyak 787,504.

Menerusi infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya hari ini, Dr Adham berkata, lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 71,403 diikuti Sarawak (52,157), Perak (50,334), Sabah (46,459) dan Kuala Lumpur (44,925).

Sementara itu, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor dengan 34,716 individu, Perak (29,412), Kuala Lumpur (26,637), Sarawak (26,600) dan Sabah (24,737).

Mengenai jumlah pendaftaran program imunisasi itu, sebanyak 7,808,785 atau 32.20 peratus direkodkan dalam tempoh sama dengan Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 2,132,502 pendaftaran.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini akan melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini melibatkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya (OKU) manakala fasa ketiga dijadualkan bermula Mei 2021 hingga Februari 2022 membabitkan individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 13.7 juta orang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 11:50 AM