SAIFUDDIN (kiri) bersama Takiyuddin menunjukkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No.2) 2021 selepas sidang media di Kementerian Komunikasi dan Multimedia. FOTO BERNAMA
SAIFUDDIN (kiri) bersama Takiyuddin menunjukkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No.2) 2021 selepas sidang media di Kementerian Komunikasi dan Multimedia. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Penguatkuasaan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021 adalah khusus bagi menangani berita tidak benar berkaitan Covid-19 serta Proklamasi Darurat sahaja.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ordinan itu adalah remedi jangka pendek khusus bagi membendung penularan berita tidak benar mengenai Covid-19 dan Proklamasi Darurat, demi ketenteraman dan kepentingan awam.

"Ini hanya untuk waktu darurat sahaja… ia bukan selamanya," katanya yang menolak tanggapan ordinan itu bermotifkan politik.

Saifuddin berkata, penguatkuasaan ordinan itu dipertanggungjawabkan kepada pegawai polis dan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

"Ordinan ini bertujuan mempercepatkan proses penguatkuasaan, penyiasatan dan pendakwaan manakala prosiding di mahkamah kekal seperti sedia ada," katanya dalam sidang media bersama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan di sini, berhubung ordinan berkenaan yang berkuat kuasa tadi.

Saifuddin berkata tindakan mahkamah juga sedang diambil bagi kes-kes berita palsu yang dilaporkan sebelum ini dan hukuman mereka sama sekali tidak terbabit dengan penguatkuasaan ordinan itu, bagi mengelakkan unsur 'double jeopardy'.

Beliau berkata MCMC sudah menjalankan kempen "Freedom of Speech but not freedom to lie" (kebebasan bersuara, tapi bukan kebebasan menipu); dan Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga membuat pemakluman hampir setiap hari, namun penularan berita palsu masih berleluasa.

"Sekarang ini tempoh strategik. Program imunisasi (Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) mesti berjaya kerana ia adalah jawapan besar bagi Covid-19, kita tidak boleh gagal.

"Kita adalah kerajaan yang sangat wajar, bersemangat tinggi dan berfungsi. Kepentingan kita adalah rakyat, dan bagi memerangi Covid-19. Rayuan saya kepada rakyat, berikan kami peluang untuk melaksanakan ini," katanya.

Saifuddin dalam pada itu turut memberikan contoh berita tidak benar yang boleh diambil tindakan di bawah ordinan itu.

"Katakan individu A dalam blog kata Z meninggal dunia setelah terima vaksin Covid-19, maka individu itu boleh dituduh, atau A menawarkan maklumat palsu mengenai Covid-19 kepada B, dan B seterusnya menerbitkan maklumat itu dalam blog beliau, tanpa mengetahui maklumat tu palsu. Jadi A pun salah, B pun salah," katanya.

Ordinan itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali, manakala bagi kesalahan yang berterusan pula, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Ordinan turut memberi definisi 'berita tidak benar' termasuklah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan keseluruhan atau sebahagiannya palsu yang berhubungan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Ia terpakai kepada semua individu tanpa mengira kewarganegaraan dan walaupun kesalahan dibuat di luar Malaysia.

"Ordinan ini adalah imperatif bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang sahih dari sumber yang tepat, sekali gus mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam serta negara," kata Saifuddin.

Sementara itu, Takiyuddin berkata ordinan itu berkuat kuasa selama mana darurat berkuat kuasa dan sekiranya ia tidak dibatalkan oleh Parlimen selepas tempoh darurat berakhir, maka tempoh hayat ordinan itu adalah enam bulan daripada tarikh berakhirnya darurat.

Mengenai dakwaan ordinan itu menghalang kebebasan berpolitik, Takiyuddin berkata banyak negara juga telah mengambil langkah untuk mengekang penularan berita tidak benar antaranya Kemboja yang mengguna pakai Law on National Administration in the State of Emergency; manakala Section 54 of Disaster Management Act, diguna pakai di India; Article 207 of Criminal Code di Rusia; dan Emergency Law on COVID-19 di Filipina.

"Orang yang mengatakan kerajaan ini main politik sebenarnya dia yang lebih main politik. Tumpuan kerajaan adalah kepada tiga aspek iaitu kesihatan, ekonomi dan sosial," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 8:10 PM