SEBAHAGIAN 300 pengunjung berada atas beti pasir sejauh 600 meter ketika fenomena air surut habis di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
SEBAHAGIAN 300 pengunjung berada atas beti pasir sejauh 600 meter ketika fenomena air surut habis di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Ribuan hidupan marin ditemui terdampar di beting pasir sejauh 600 meter, sekali gus menarik perhatian 300 pengunjung Pantai Tanjung Rhu di sini, hari ini.

Antara banyak ditemui termasuk ikan sebelah, gamat, belangkas, siput duri, landak laut, tapak sulaiman, ketam, sotong katak dan kuda laut.

Fenomena unik itu mula dilihat pada 7 pagi dan berlaku sekali dalam setahun apabila air surut penuh, sekali gus membentuk beting menghubungkan tiga pulau berdekatan seolah-olah laut terbelah.

Seorang pengunjung, Sally Hazri Razali, 43, berkata, dia tiba awal di kawasan itu bagi melihat kejadian yang jarang berlaku untuk dijadikan kenangan.

"Rugi bagi sesiapa yang tidak berpeluang datang dan berjalan kaki atas beting hari ini, sambil melihat pelbagai hidupan marin yang terdampar.

"Ketika waktu air pasang kawasan ini amat dalam serta berbahaya untuk menyelam," katanya ketika ditemui, di sini.

Pelatih sekolah penerbangan, Nabila Huda Rosmi, 31, turut tidak melepaskan peluang mengunjungi ke pantai itu untuk melihat fenomena itu bersama bapanya, Rosmi Siru, 60, dan Samari Kasa, 59.

"Fenomena air surut itu hanya berlaku kira-kira sejam, selepas itu air pasang semula dan beting hilang dari pandangan.

"Saya sangat teruja dapat lihat dan menatang landak laut dalam tapak tangan, selain mengambil banyak gambar untuk disimpan sebagai kenangan," katanya.

Pemandu pelancong, Zoher Mustan, 56, berkata, aktiviti berjalan menyusuri beting selepas air surut seperti itu boleh dialami pengunjung setahun sekali.

"Kalau terlepas tahun ini, kena tunggu tahun hadapan pula untuk berjalan di beting pasir sejauh 600 meter ke Pulau Kelam Baya, Chabang dan Penyu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Laut Wilayah Utara Mohd Hafiz Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan berlaku fenomena air surut terbabit.

"Ya, air laut surut sehingga 0.1 meter di Pelabuhan Piawai Kuah pada 8 pagi tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 3:54 PM