Hamzah Osman


PENGANJURAN program Jalan Beting Pasir di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi mencuri tumpuan ramai untuk menyaksikan fenomena air surut habis.

Fenomena unik yang muncul sekali dalam setahun itu menarik perhatian 200 peserta untuk melihat hidupan laut seperti obor-obor, sotong katak, tapak sulaiman dan ketam bulan yang terdampar di beting pasir sejauh 600 meter itu,

Pengunjung, Wan Sharina Wan Hassan, 48, berkata, dia teruja mengikuti program yang bermula seawal 7 pagi itu untuk melihat hidupan laut yang terdampar di situ dan terumbu karang.

WAN Sharina, 48, menunjukkan tapak sulaiman yang ditemui ketika mengunjungi beting pasir sejauh 600 meter meninjau fenomena air surut habis di Pantai Tanjung Rhu Langkawi. FOTO Hamzah Osman
WAN Sharina, 48, menunjukkan tapak sulaiman yang ditemui ketika mengunjungi beting pasir sejauh 600 meter meninjau fenomena air surut habis di Pantai Tanjung Rhu Langkawi. FOTO Hamzah Osman

“Fenomena ini unik dan ini adalah kali kedua saya berkunjung ke kawasan ini selepas kali pertama melakukannya Februari tahun lalu.

“Sekiranya musim air pasang, pengunjung tak boleh datang ke kawasan ini, justeru fenomena ini sesuatu yang luar biasa kerana saya berpeluang melihat hidupan laut terdampar dan terumbu karangnya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Warga emas, Siti Aishah Zakaria, 63, mengakui turut teruja menyertai orang ramai mengunjungi kawasan itu berikutan kejadian fenomena air surut habis.

WARGA emas, Siti Aishah, 63, menunjukkan sotong katak yang ditemui ketika mengunjungi beting pasir sejauh 600 meter meninjau fenomena air surut habis di Pantai Tanjung Rhu Langkawi. FOTO Hamzah Osman
WARGA emas, Siti Aishah, 63, menunjukkan sotong katak yang ditemui ketika mengunjungi beting pasir sejauh 600 meter meninjau fenomena air surut habis di Pantai Tanjung Rhu Langkawi. FOTO Hamzah Osman

“Alhamdulillah, mak cik dapat kutip dan bawa pulang lima sotong katak dan 10 siput paha ayam sepanjang satu jam di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Tanjung Rhu Resort Langkawi (TRRL) Ameran Mohd Shariff berkata, beting pasir itu terbentuk antara pantai dan Pulau Kelam Baya selepas air surut.

“Ramai pengunjung teruja yang menyertai program ini kerana dapat melihat dan menyentuh sendiri pelbagai hidupan laut yang terdampar selepas air surut habis.

“Kebiasaannya, ketika air pasang kedalaman air kawasan pantai ini mencecah sehingga dua meter,” katanya.

Beliau berkata, program Jalan Beting Pasir dianjurkan TRRL dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Turut hadir meninjau fenomena itu, Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Dr Hezri Adnan dan Pengurus Pelancongan LADA, Azmil Munif Mohd Bukhari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 1:53 PM