Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Arau: "Kami tidak punya apa-apa pun, tetapi kudrat ini akan tetap saya jalankan demi kehidupan kami adik beradik."

Begitulah luahan Che Zainah Che Ibrahim, 69, adik bongsu daripada tiga beradik warga emas orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang kehilangan kediaman selepas rumah mereka di Kampung Titi Besi, di sini terbakar akibat perbuatan khianat beberapa hari sebelum Aidilfitri, dua tahun lalu.

Dalam kejadian itu, rumah didiami Che Zainah serta dua kakaknya, Halijah, 80, dan Che Manai, 74, dibakar anak saudara lelaki mereka yang dikatakan berang terhadap tiga beradik itu kerana tidak memperoleh wang mencukupi hasil daripada penjualan buah kelapa di tanah pusaka milik tiga beradik itu.

Anak saudaranya itu kini sedang dipenjara 12 tahun di Pusat Koreksional Perlis atas jenayah berkenaan.

Menurut Che Zainah, walaupun dunianya bersama kakaknya kelam dan gelap seperti penglihatan mereka, dia tetap tekad tidak mahu menyusahkan orang lain termasuk sanak saudara mereka sebaliknya lebih selesa berdikari dengan mengusahakan dan menjual kraftangan serta bantal yang dihasilkan mereka.

"Selepas kejadian itu, kakak saya sekarang sudah tak terdaya untuk berniaga bersama dan sayalah yang harus meneruskan perniagaan ini, jika tiada hasil bagaimana kami nak teruskan hidup.

"Lagipun, walaupun rumah ini kecil, kami tidak mahu menyusahkan orang lain dan kemahiran dimiliki ini bolehlah untuk menampung kehidupan kami ini," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Titi Besi, di sini.

Mereka dikunjungi sempena Program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Peduli anjuran Yadim Perlis dengan kerjasama Yadim Putrajaya.

Katanya, dia dan kakaknya mempunyai kemahiran mengait untuk menghasilkan kraftangan dan barangan perhiasan menggunakan rotan seperti tudung saji, bakul dan beg selain turut menjual bantal kekabu.

"Lazimnya, saya dan kakak akan bersama-sama mengait rotan menjadikan tudung saji tetapi sayalah yang akan menjualnya di pasaran.

"Boleh dikatakan setiap hari jadual saya terisi bermula 7 pagi setiap Isnin hingga Jumaat, saya akan berniaga di lot perniagaan Majlis Perbandaran Kangar di Jalan Arau-Pauh manakala Sabtu hingga Ahad, pula saya akan berniaga di Pasar Tani di Taman Sena Indah, Kangar dengan pengangkutan dibantu anak saudara saya atau warga di kampung ini," katanya.

Dia berkata, berdasarkan hasil jualan ada kalanya dia memperoleh RM20 sahaja sehari dan dia tetap bersyukur kerana masih mampu untuk berniaga.

Anak saudaranya, Siti Maryam Ayob, 44, yang tinggal bersebelahan rumah ibu saudaranya itu berkata, walaupun ketiga-tiga ibu saudaranya itu tidak mampu melihat, masih ada pelanggan dan pihak cuba mengambil kesempatan dengan cuba menipu atau mencuri wang jualan milik mereka.

TIGA beradik warga emas OKU penglihatan (dari kiri) Che Manai, Halijah dan Che Zainah ketika ditemui di rumah mereka, hari ini. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
TIGA beradik warga emas OKU penglihatan (dari kiri) Che Manai, Halijah dan Che Zainah ketika ditemui di rumah mereka, hari ini. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN

Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, berkata pihaknya terpanggil melihat kepayahan dialami tiga wanita warga emas OKU penglihatan itu dan menyampaikan sumbangan berbentuk barangan seperti dapur dan gas, makanan seperti beras serta wang.

Beliau berkata, mereka dalam rangka lawatan kerja selama dua hari dalam Program Yadim Peduli untuk menyampaikan bantuan hasil daripada sumbangan dan amanah orang ramai diterima yayasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 12:02 PM