Perkhidmatan feri dibuka semula. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Perkhidmatan feri dibuka semula. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Perkhidmatan feri untuk pelancong dari Terminal Feri Kuala Perlis ke Pulau Langkawi akan dibuka semula Sabtu ini.

Pembukaan laluan masuk ke Langkawi melalui Terminal Penumpang Feri Kuala Perlis itu adalah bagi memenuhi permintaan pelancong ketika ini.

Bagaimanapun, hanya satu perjalanan dijadualkan beroperasi setiap hari setakat ini.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kepten Baharin Baharom berkata, bagi laluan masuk Langkawi dari Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah pula akan ditambah lagi satu perjalanan menjadikan dua perjalanan sehari.

Beliau berkata, pihaknya turut mengharapkan larangan rentas negeri akan dibuka semula supaya lebih banyak perjalanan dapat dibuka.

"Mengikut rekod, perjalanan melalui Terminal Penumpang Kuala Perlis adalah sebelum ini adalah 10 kali sehari manakala kemasukan melalui Terminal Penumpang Kuala Kedah adalah lapan kali sehari.

"Penambahan perjalanan ini diharap dapat membantu industri pelancongan Langkawi yang hampir mati ketika ini dan membuka kembali peluang pekerjaan sektor pelancongan, peruncitan dan perhotelan di Langkawi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baharin berkata, selain itu orang ramai perlu belajar hidup dengan normal baru dan patuhi prosedur operasi standard (SOP).

Sebelum ini, perkhidmatan feri dari Kuala Perlis dihentikan disebabkan larangan merentas negeri dan daerah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, operasi feri hanya dilakukan di Terminal Feri Kuala Kedah namun semua penumpang perlu menunjukkan surat kebenaran merentas daerah atau negeri yang dikeluarkan oleh polis.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 1:34 PM