Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Majikan digesa supaya sentiasa mengadakan perbincangan dengan pekerja sebelum sebarang perubahan membabitkan kepentingan pekerja dibuat.

Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan berkata, ini bagi memastikan keharmonian perusahaan yang dinikmati dan kebajikan pekerja akan terus berkekalan dan terpelihara.

Menurutnya, berhubung isu ketidakpuasan hati pekerja syarikat penghantaran J&T Express (Malaysia) Sdn Bhd, kementerian akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada syarikat itu.

"Susulan penularan video pemunggahan bungkusan secara kasar oleh pekerja syarikat, kementerian sudah menjalankan siasatan lanjut di beberapa premis syarikat itu di Perak, Melaka, Johor dan Selangor.

"Hasil siasatan mendapati kejadian berkenaan berlaku premis perniagaan syarikat di Perak yang berpunca daripada bebanan kerja yang dialami pekerja di bahagian gudang berikutan peningkatan mendadak bungkusan.

"Siasatan mendapati pekerja terutamanya di bahagian penghantaran tidak berpuas hati dengan bonus berdasarkan prestasi dan perubahan struktur bayaran komisen secara unilateral yang akan menyebabkan pendapatan pekerja berkurangan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.

Katanya, syarikat memaklumkan isu berkenaan sudah selesai dan ia berlaku disebabkan salah faham selain sudah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada pelanggan serta memberi penjelasan mengenai sistem pemberian bonus kepada kakitangan.

Baru-baru ini tular video pekerja syarikat kurier itu mencampak barangan pelanggan di sebuah gudang kerana mendakwa ditindas majikan.

Namun, tindakan itu turut menimbulkan ketidakpuasan hati pelanggan yang menganggap mereka sebagai mangsa keadaan apabila barang ditempah dihantar lewat selain diterima dalam keadaan rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 2:29 PM