GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply

Dungun: Lelaki yang menyeret isterinya dengan kereta yang dipandu untuk melarikan bayi mereka, sudah ditahan polis di rumah keluarganya di Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis Kontinjen Negeri Sembilan dan dibawa ke sini, hari ini.

"Sebaik tangkapan dibuat, kita ke sana untuk mengambil suspek dan anaknya sebelum tiba di daerah ini kira-kira jam 3 pagi tadi (hari ini).

"Suspek kini direman selama empat hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

"Bayi lelaki berusia 14 bulan yang dilarikan suspek sudah diserahkan kepada ibunya yang berusia 32 tahun," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian di sini, Ahad lalu, seorang suri rumah cedera di muka dan badan selepas diseret kereta yang dipandu suaminya ketika cuba melarikan bayi lelaki mereka

Pasangan itu dalam proses bercerai dan suspek datang ke daerah ini pada hari kejadian bagi menghadiri perbicaraan kes perceraian mereka di Mahkamah Syariah Dungun, namun kes ditunda.

Berita berkaitan

Wanita cedera diseret halang suami larikan bayi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 5:29 PM