GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Dungun: Polis menahan seorang lelaki yang mencederakan tukang gunting dalam kejadian samun berhampiran sebuah kedai di simpang di Taman Sri Dungun, di sini, kelmarin.

Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di sebuah kedai makan di Kampung Telaga Papan, Kemaman kira-kira jam 12.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 11.30 malam Rabu lalu ketika mangsa berusia 21 tahun dalam perjalanan dari rumahnya ke gelanggang futsal dengan menunggang motosikal.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang lelaki dikatakan menahan motosikal mangsa dan pada masa sama, sebuah kereta dinaiki tiga lelaki tiba-tiba berhenti.

"Dua daripada lelaki yang dikenali mangsa memukul lelaki terbabit sebelum dibawa ke satu lokasi tidak diketahui.

"Mangsa sekali lagi dipukul di tempat kejadian sehingga dia cedera di muka dan badan sementara motosikal dan wangnya sebanyak RM50 turut dilarikan suspek.

"Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Dungun untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Baharudin berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan seorang daripada suspek.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan dua lagi suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera ketika melakukan samun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 1:33 PM