AJ Lias  memberi makanan kepada anjing jalanan.
AJ Lias memberi makanan kepada anjing jalanan.
Oleh Yun Mikail


Kota Kinabalu: Memiliki tubuh sasa serta dikenali dalam seni bela diri campuran (MMA), pasti ramai tidak menyangka petinju profesional, AJ Pyro menjadikan aktiviti memberi makan kucing serta anjing jalanan sekitar Kota Kinabalu sebagai rutin harian.

Aj Pyro atau nama sebenarnya AJ Lias Mansor, 46, berkata, rutin memberi makanan kepada haiwan jalanan itu sudah menjadi kewajipan hariannya.

Pernah dinobatkan juara 'ONE Championship', katanya, inisiatif membantu haiwan jalanan bukan asing buatnya disebabkan sudah terbiasa berbuat demikian, termasuk perkara sama sewaktu berada di luar negara ketika menyertai perlawanan.

"Sejak kecil saya sudah mula sayang pada binatang dan kerap membawa pulang kucing terbiar ke rumah.

"Saya tidak boleh melihat ada haiwan di jalanan yang kelaparan," katanya ditemui ketika sedang memberi makan anjing di sekitar Likas, baru-baru ini.

Menurut AJ, dia memerlukan antara RM300 sehingga RM400 seminggu untuk membeli makanan haiwan itu.

Katanya, pada mulanya, semua wang itu hasil usahanya sendiri namun kini, semakin ramai penyumbang turut membantunya selepas melihat gambar yang dikongsikan di laman sosial.

Menurut AJ, sumbangan pula membabitkan makanan anjing dan kucing, ubat-ubatan serta kewangan.

"Saya juga sedang berusaha keras meneruskan kehidupan selepas pusat kecergasan yang diusahakan terpaksa ditutup September tahun lalu.

"Saya percaya rezeki itu akan selalu ada sekiranya kita tidak berkira termasuklah kepada haiwan," katanya.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 6:30 PM