Sekumpulan warga asing bersiar-siar ketika kuarantin sementara menunggu giliran potong gelang ditahan di Bandar Kota Tinggi. FOTO Ihsan PDRM
Sekumpulan warga asing bersiar-siar ketika kuarantin sementara menunggu giliran potong gelang ditahan di Bandar Kota Tinggi. FOTO Ihsan PDRM
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Sekumpulan 14 warga asing yang memakai gelang pink ditahan ketika bersiar-siar di sekitar pusat bandar ini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussain Zamora berkata, warga asing terbabit terdiri daripada 12 warga Nepal serta masing-masing seorang warga India dan Bangladesh.

Katanya, warga asing terbabit sedang menjalani perintah kuarantin berikutan penularan Covid-19 di tempat kerja.

"Hasil rondaan gabungan dari Task Force Covid-19 Balai Polis Kota Tinggi dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menahan seramai 14 warga asing di beberapa tempat di sekitar bandar Kota Tinggi.

"Hasil siasatan awal mendapati mereka menunggu giliran untuk memotong gelang kuarantin, namun perbuatan bersiar-siar sebelum tamat arahan perintah kuarantin adalah satu kesalahan.

"Kesemua yang berumur lingkungan 22 hingga 34 tahun itu ditangkap dan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan dengan cuai dan berbahaya yang boleh merebakkan penyakit berjangkit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 5:13 PM